MENU

KUCHING, 22 Jun: Dalam keadaan ekonomi negara yang kurang stabil dengan hutang mencecah RM1 trillion, kerajaan akan cuba sedaya upaya untuk mengurangkan perbelanjaan demi menstabilkan keadaan kewangan negara, kata Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, ketika berucap sempena lawatan kerja di Majlis Perbandaran Padawan, Kuching, semalam.

Namun begitu ujar beliau, dana yang telah diperuntukan akan tetap disalurkan kepada projek pembangunan seperti yang telah diluluskan.

Zuraida turut memuji Pengerusi MPP, Lo atas kesanggupan beliau bekerjasama dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik demi kepentingan penduduk di sekitar Padawan.

Tambah beliau, adalah menjadi prinsip kerajaan baharu kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, agar Malaysia mengorak langkah ke hadapan tanpa mengira perbezaan politik, kaum dan agama, bahawa semua rakyat Malaysia harus dilayan secara sama-rata.

Taklimat yang telah dihadiri oleh kira-kira 50 orang tersebut telah berlangsung dalam keadaan ceria dan harmoni.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr. Sim Kui Hian, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang, dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia, Dato' Sri Mohammad Mentek. -TAMAT-